Legenda MotoGP, Valentino Rossi, akan beralih kepada perlumbaan empat roda untuk menjadi pemandu Pasukan WRT dalam Kejohanan Dunia GT.

Rossi menamatkan kerjaya MotoGP yang luar biasanya pada November lalu dengan menduduki tempat ke-10 dalam perlumbaan terakhirnya menerusi Grand Prix (GP) Valencia.

Ikon Itali itu yang merupakan juara dunia tujuh kali mengumumkan pengundurannya dalam kancah MotoGP pada usia 42 tahun.

Tetapi Rossi telah bersetuju untuk mengambil cabaran dalam perlumbaan baru selepas diuji dengan Pasukan WRT di Valencia, bulan lalu.

Dia akan menjadi pemandu rasmi Audi dengan mengambil bahagian dalam perlumbaan 10 pusingan Piala Endurance dan Piala Sprint.





Rossi berkata: "Saya gembira dapat menyertai Pasukan WRT untuk saingan penuh Cabaran Eropah Fanatec GT World untuk program AWS.

"Semua orang tahu bahawa saya sentiasa merupakan peminat perlumbaan kereta dan saya sentiasa berminat untuk aksi empat roda sebaik sahaja karier MotoGP saya berakhir.

“Kini saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menumpukan perhatian kepada perlumbaan kereta di tahap tinggi dan dengan pendekatan profesional yang betul.

"Pasukan WRT adalah kesesuaian yang saya mahukan dan saya teruja untuk memulakan pengembaraan baru ini dalam GT World."