Valentino Rossi berazam untuk mengambil tempatnya di grid dalam Grand Prix Itali walaupun mengalami kesakitan teruk berikutan kemalangan motocross.

Pelumba Movistar Yamaha itu adalah pemenang tujuh kali di Mugello tetapi tidak pasti sama ada akan cergas untuk mengambil bahagian hujung minggu ini.

Pemeriksaan kecergasan hari ini penting untuk harapannya beraksi tetapi juara tujuh kali MotoGP itu mengakui masih berasa kesan kemalangan yang berlaku minggu lalu.

"Malangnya saya kemalangan semasa sedang berlatih motocross," katanya. "Rasa sakit di bahagian perut dan dada masih teruk.

"Nasib baik, keadaan saya bertambah baik hari demi hari dan ini membolehkan saya berfikir lebih positif tentang hujung minggu ini di Mugello.

"Keinginan saya untuk berada di permulaan GP Itali begitu kuat dan saya berusaha untuk pulih secepat mungkin.

"Ia tidak mudah tetapi saya masih mempunyai beberapa hari untuk meneruskan rawatan.

"Hari ini saya perlu melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan lampu hijau untuk turun ke litar.

"Jika semuanya berjalan lancar, saya akan menunggang YZR-M1 saya Jumaat (Sabtu) ini untuk memahami keadaan saya. Saya akan melakukan yang terbaik untuk berada di litar Ahad (Isnin) ini , ia pasti."