Ping Pong: Skuad wanita tiada harapan tinggi berdepan India

Penulis Jemputan
April 6, 2018 09:35 MYT
Skuad ping pong berpasukan wanita negara berdepan laluan sukar untuk ke separuh akhir apabila diundi menentang India dalam suku akhir Sukan Komanwel di Gold Coast, esok.
India merupakan pasukan pilihan kedua di belakang England dan antara pasukan kegemaran untuk merangkul pingat dalam acara berpasukan
Tatkala skuad Malaysia mengharapkan laluan lebih mudah dalam suku akhir, India yang dibarisi pemain di ranking 66 dunia, Manika Batra, Pooja Sahasrabudhie dan Sutirtha Mukherjee sedia menafikan harapan skuad kendalian Beh Lee Wei itu.
Bagaimanapun, Lee Wei enggan memberi tekanan kepada anak buahnya kerana mereka sebenarnya sudah mencapai sasaran ke suku akhir dan bonus sekiranya mereka mampu mara jauh selepas ini.
"Saya tidak akan memberi tekanan kepada mereka. Tetapi, saya harap mereka betul-betul berjuang," katanya.
Alice Chang Li Sian, yang baru berusia 17 tahun, ternyata lega dapat membantu Malaysia menundukkan Fiji 3-1 hari ini walaupun Malaysia hanya dibarisi pemain muda kecuali Ho Ying yang sudah berpengalaman di pentas Komanwel.
"Saya berjuang di dalam gelanggang. Saya juga memberi sokongan sepenuhnya buat pasukan dan bersorak untuk menaikkan semangat pasukan saya," kata Li Sian.
#Ping Pong #Sukan Komanwel #Wanita #Gold Coast 2018 #Ho Ying