Piala Razak: Terengganu mudah ke suku akhir benam ATM

Muzaffar Musa
September 19, 2020 11:35 MYT
Terengganu mengesahkan tempat dalam suku akhir Kejohanan Hoki Tun Abdul Razak selepas menguasai Kumpulan C dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 5-1 di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil sebentar tadi.
Skuad kendalian Tai Beng Hai itu membuka jaringan seawal minit ke-24 menerusi gol padang Akhimullah Anuar Esook.
Empat minit kemudian, giliran penggempur utama, Faizal Saari , menggandakan kedudukan itu menerusi pukulan sudut penalti.
Terengganu terus memacu dua lagi mata dalam suku ketiga dengan kedua-dua jaringan itu melengkapkan hatrik Faizal, masing- masing pada minit ke-34 dan 35.
ATM akhirnya memecah kebuntuan jaringan menerusi gol padang Azril Azman pada minit ke-37.
Bagaimanapun, Faizal jelas berada dalam kelas tersendiri apabila meledakkan gol kelima Terengganu, yang juga gol keempat peribadinya, menerusi satu lagi pukulan sudut penalti pada penghujung permainan.
Keputusan lain:
PDRM 8 Kelantan 0
#Hoki #Terengganu #Faizal Saari #Piala Tun Abdul Razak