Piala FA: Kuala Lumpur ada ramuan rantai Zubovich

Penulis Jemputan
Mac 15, 2018 08:28 MYT
Barisan pertahanan Kuala Lumpur yang diketuai Mohd Hisyamudin Mohd Shaari sudah melakukan perancangan khusus bagi merantai pergerakan penyerang berbisa Melaka, Yahor Zubovich, dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.
Hisyamudin, yang beraksi dalam semua perlawanan setakat ini, melihat penyerang berasal dari Belarus itu mempunyai teknik penyudah yang bagus.
Jurulatih Kuala lumpur, Fabio Joaquim Maciel da Silva, sudah memberi peringatan kepadanya dan rakan sepasukan bahawa Zubovich tidak boleh dibiarkan bergerak bebas.
Zubovich telah meledak tujuh gol dalam enam perlawanan, termasuk aksi pusingan kedua Piala FA.
"Untuk berdepan penyerang Belarus itu, jurulatih sudah memberikan sedikit nasihat. Saya hanya perlu ikut arahan jurulatih dan selebihnya bergantung kepada taktikal kami.
"Rekod kekalahan di luar itu memberikan kami sedikit-sebanyak semangat untuk berdepan Melaka United," kata Hisyamudin.
Maciel berharap rekod kurang baik di tempat lawan mampu diperbaiki kali ini dengan menjadi pasukan pertama mengalahkan Melaka di laman sendiri musim ini.
Dijangka mengekalkan formasi 5-4-1 bagi menyerap serangan lawan, jurulatih dari Brazil itu juga bersiap sedia jika perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.
"Saya menyaksikan beberapa perlawanan mereka dan saya tahu bagaimana mereka bermain. Mereka bermain agak bertahan dan memanfaatkan kesilapan lawan.
"Saya juga tahu mereka juga adalah satu organisasi yang baik tetapi perlawanan piala seperti ini berbeza sepenuhnya," katanya.
#Piala FA #Melaka #Kuala Lumpur #Mohd Hisyamudin Mohd Shaari #Yahor Vyachaslavavich Zubovich