Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan senarai 20 pemain negara yang akan ke Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita di Muscat, Oman bermula 21 Januari ini.

Kejohanan itu akan menjadi tugasan antarabangsa pertama buat Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan bagi tahun 2022.

Format kejohanan itu menyaksikan dua pasukan teratas dalam Kumpulan A dan B akan melangkah ke separuh akhir, di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Jepun dan Singapura manakala Kumpulan B pula menampilkan China, Korea, Thailand dan Indonesia.

Kejohanan itu juga merupakan pusingan kelayakan ke Piala Dunia Wanita 2022 di Sepanyol dan Belanda pada Julai depan.

Seramai lima pemain senior disenaraikan dalam skuad kali ini bagi membantu memperkuatkan pasukan dan membimbing pemain-pemain muda.

Ketua jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim, menjelaskan bahawa dia dan barisan kejurulatihannya telah membuat penilaian berdasarkan usaha yang ditunjukkan oleh setiap pemain.

Selain itu semangat untuk memberikan tentangan ketika sesi latihan dan aksi persahabatan selain tahap kualiti kemahiran teknikal turut menjadi elemen utama dalam pemilihan berkenaan.

“Selepas menjalani beberapa sesi latihan serta perlawanan persahabatan menentang pasukan lelaki elit MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya), barisan kejurulatihan telah menyenaraikan 20 pemain untuk ke Muscat, Oman," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan KHM itu.

“Pemilihan pemain adalah berdasarkan beberapa kriteria dan yang paling utama adalah tahap kualiti kemahiran teknikal pemain. Ia sangat penting bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan serta tempo permainan yang pantas, terutama di peringkat yang tinggi.

“Pemahaman daripada segi taktikal pasukan serta mempunyai kemahiran membuat keputusan di dalam padang turut diambil kira. Barisan jurulatih juga menilai dan memerhatikan tahap usaha yang ditunjukkan mereka semasa latihan dan perlawanan persahabatan selain mempunyai semangat untuk memberikan tentangan ketika perlawanan,” katanya.

Berdasarkan senarai itu, 12 pemain bakal membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa dan Nasihin, yang realistik dengan keadaan serta tahap pasukan bimbingannya, mahu barisan pemain yang terpilih untuk menggunakan sepenuhnya pendedahan bermain dengan pasukan terbaik Asia.

“Pasukan ini rata-ratanya dibarisi oleh pemain berusia 23 tahun ke bawah dan menyertai kejohanan peringkat senior tertinggi di Asia untuk kali pertama sudah dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan, apatah lagi mereka akan berdepan dengan pasukan yang beraksi dalam Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

“Secara realistik, dengan keadaan semasa dan kekangan yang kami hadapi, kami sedar di mana tahap pasukan ini jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan gergasi Asia yang lain.

“Kami terpaksa mengambil tindakan berani untuk menyertai kejohanan ini dan berharap ia dapat menjadi satu pendedahan terbaik untuk mereka selain membantu dalam membentuk satu pasukan mantap dan mempunyai kualiti bersaing di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” tambahnya.


Senarai Pemain:
BILNAMAPOSISI
1.SITI ROZAILAH JILONPENJAGA GOL
2.SITI ZALIA NASIRPENJAGA GOL
3.JULIANI MOHAMAD DINPERTAHANAN
4.RAJA NORSHARINA RAJA SHABUDDINPERTAHANAN
5.NURUL FAEZAH SHAFIQAH KHALIMPERTAHANAN
6.IREN HUSSINPERTAHANAN
7.DAYANG NURAMIRAH ABANG MAHADINIPERTAHANAN
8.NURUL FATIN FATIAH AZMANPERTAHANAN
9.NURAINI ABDUL RASHIDTENGAH
10.FATIN SHAFIKA MAHD SUKRITENGAH
11.NUR SYUHADA SUHAIMITENGAH
12.NOR ASFARINA ISAHYIFIQA ISAHHIDUNTENGAH













13.NUR INSYIRAH EFFARIZALTENGAH
14.NURAMIRAH SHAKIRAH ZULKIFLIPENYERANG
15.NURMAIZATUL HANIM SYAFI SHIEK FUADPENYERANG
16.SITI ZULAIKHA HUSAINPENYERANG
17.SITI NUR ARFAH MOHD NORPENYERANG
18.NUR ATIRA MOHAMAD ISMAILPENYERANG
19.NUR AFIQAH SYAHZANI AZHARPENYERANG
20.HANIS NADIAH ONNPENYERANG




Jadual Perlawanan Kumpulan A
BILPERLAWANANTARIKH / HARIMASA
1.INDIA LWN MALAYSIA22 JANUARI (SABTU)12.00 TGH MALAM
2.MALAYSIA LWN SINGAPURA23 JANUARI (AHAD)9.00 MALAM
3.MALAYSIA LWN JEPUN24 JANUARI (ISNIN)9.00 MALAM
*Waktu perlawanan dalam waktu Malaysia.