Pesaka belum fikirkan pendekatan drastik bantu Jufferi, Siti Rahmah

Penulis Jemputan
Januari 16, 2019 12:02 MYT
Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) belum memikirkan pendekatan drastik agar tonggak negara Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Nasir dapat ditampilkan dalam Sukan SEA di Manila, Disember depan dengan mengurangkan berat badan kedua-dua pesilat itu ketika kelas yang diwakili mereka tidak dipertandingkan pihak penganjur.
Al Jufferi dan Siti Rahmah merupakan juara bertahan bagi klasifikasi Kelas E yang digugurkan daripada temasya itu.
Kelas E membabitkan kategori atlet dengan berat badan 65 hingga 70 kilogram.
Al Jufferi memiliki peluang lebih realistik untuk berada dalam skuad Sukan SEA memandangkan Kelas D Lelaki memperuntukkan atlet dengan berat badan 60 hingga 65 kilogram.
Bagi kategori wanita pula, hanya kelas A dan B dipertandingkan, sekali gus menyukarkan peluang buat Siti Rahmah.
"Banyak kategori yang skuad negara berpotensi untuk meraih pingat emas digugurkan dalam temasya kali ini.
"Kami perlu memberikan lebih tumpuan kepada kategori yang dipertandingkan terlebih dahulu.
"Kami akan mencuba untuk menghantar atlet terbaik dalam setiap kategori yang dipertandingkan itu," kata Naib Presiden III Pesaka, Zaihan Mohd Isa.
Secara keseluruhan, Filipina menyenaraikan hanya sembilan acara silat membabitkan kategori tanding dan seni.
"Kami menyedari strategi tuan rumah yang mengurangkan acara dalam Sukan SEA kali ini bagi memastikan kontinjen negara tidak dapat memenangi banyak pingat emas.
"Dalam edisi di Kuala Lumpur pada 2017, silat menyumbangkan 10 pingat emas.
"Kami menjangkakan jumlah itu akan berkurangan.
"Bagaimanapun, peluang itu masih ada memandangkan atlet-atlet lain juga mampu menyerlah dalam Kejohanan Dunia di Singapura bulan lalu," kata Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.