Max Verstappen mahu meningkatkan tekanan kepada Lewis Hamilton dan Mercedes selepas pemandu Red Bull itu pada awalnya menyuarakan kebimbangannya terhadap jurang besar yang dihadapi sebelum pertengahan musim Formula Satu (F1).

Verstappen memenangi lima daripada sembilan perlumbaan pertama untuk mendahului pemburuan gelaran pemandu pada 2021, manakala pencabar dari Great Britain itu sekadar mengutip lima mata dalam dua perlumbaan seterusnya -- tiga daripadanya dipungut di Silverstone.

Hamilton memasuki rehat bulan lalu dengan kelebihan enam mata dalam misi muncul juara kali kelapan.

Bagaimanapun, Red Bull kembali memberikan saingan hebat apabila Verstappen meraih kemenangan berturut-turut di negara kelahirannya, Belgium, dan negara asalnya, Belanda.

Pemandu berusia 23 tahun itu menguasai sepenuhnya perlumbaan Grand Prix (GP) Belanda di Zandvoort, malam tadi, untuk menyekat dominasi selain muncul pemandu tuan rumah pertama yang menjulang kemenangan di tempat sendiri.

Verstappen menjelaskan perlumbaan di Great Britain dan Hungary sebelum ini telah membakar semangatnya.

"Anda patut lihat realiti kepantasan mereka dan tidak bergantung kepada keputusan perlumbaan sahaja. Saya fikir kami mampu menang di Hungary sekiranya segalanya berjalan dengan normal.

"Sebab itu saya fikir ketika tempoh rehat lalu, kami perlu tingkatkan kelajuan atau mereka akan terus mendahului.

"Kami meniti di landasan yang tepat tapi ada banyak litar yang berbeza selepas ini. Kami perlu terus berusaha dan menambah baik jentera," katanya.





Dengan Red Bull sekali lagi mengungguli keupayaan Mercedes, Hamilton berasakan kelebihan mereka semakin mengecil musim ini.

Hamilton menjelaskan jentera tidak lagi menawarkan kelebihan besar sambil menuntut pasukan membawa pembaharuan, bermula di Itali minggu ini.

"Kami telah mencurahkan segala kudrat," kata Hamilton dalam sidang akhbar selepas perlumbaan.

"Sejak perlumbaan pertama lagi mereka mempunyai kereta yang mantap sepanjang tahun ini. Kami berusaha sekuat mungkin.

"Ada beberapa perlumbaan di mana kami kelihatan hampir setara atau mendahului mereka sedikit, tetapi setakat beberapa kali sahaja.

"Kemudian mereka menunjukkan peningkatan mendadak dan ia menyukarkan kami. Saya tidak dapat memotong mereka di laluan yang biasa kami lakukan, ini kerana kemampuan kami kini adalah setaraf.

"Kami hanya perlu merendah diri dan terus bekerja, terus memberi saingan hebat.

"Kami sedang mendahului dalam kategori pasukan, ia sangat bagus. Tetapi tentu saja kami perlu meningkatkan kepantasan jika ingin memenangi perlumbaan pada masa depan."