Pablo Carreno Busta menyifatkan pembatalan penyertaan Novak Djokovic dalam Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas terpukul bola ke arah penjaga garisan awal paghi tadi merupakan sesuatu yang malang.

Djokovic disingkirkan dalam perlawanan pusingan keempat di Flushing Meadows itu susulan tindakannya memukul bola ke luar gelanggang selepas servisnya dipatahkan Carreno Busta.

Bola itu kemudian terkena penjaga garisan sehingga wanita berkenaan mengalami kesukaran bernafas sebelum Djokovic mendapatkan pegawai perlawanan itu bagi memberikan bantuan.

Djokovic merujuk kes itu kepada pegawai kejohanan tetapi penyertaannya dalam kejohanan itu dibatalkan dengan sebarang mata ranking dan hadiah kemenangan sepanjang perjalanan ke pusingan 16 itu turut ditarik balik.



Dengan hukuman itu, Carreno Busta secara tidak langsung akan bertemu Denis Shapovalov dalam suku akhir.

"Ia hanya disebabkan satu momen, saya mematahkan servisnya, dia memngeluarkan bola itu," kata Carreno Busta mengenai insiden itu dalam sidang media selepas perlawanan.

"Saya fikir ia memang malang. Anda tidak boleh melakukannya tetapi saya fikir sudah pasti Novak tidak mahu memukul (ke arah) penjaga garisan.

"Peraturan tetap peraturan. Saya fikir kedua-dua pengadil dan penyelia perlawanan telah melakukan perkara yang betul," katanya.

Djokovic tidak menghadiri sidang media selepas tamat perlawanan itu dan dilaporkan sudah meninggalkan Flushing Meadows.