Pemain skuasy wanita rebut slot

Penulis Jemputan
Jun 16, 2018 11:53 MYT
Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, perlu membuktikan kemampuan dalam dua kejohanan terakhir sebelum diputuskan dapat beraksi bagi acara individu atau sebaliknya menjelang Sukan Asia 2018.
Hanya dua pemain akan dipilih untuk menggalas cabaran bagi acara individu dan tidak lain Datuk Nicol David pastinya akan mengisi satu slot itu.
Persaingan untuk merebut slot terakhir itu tertumpu kepada Sivasangari, Low Wee Wern, Aifa Azman dan Rachel Arnold. Mereka berpeluang membuktikan kemampuan dalam Kejohanan Kebangsaan bermula 4 Julai serta Terbuka Malaysia pada 17 Julai depan.
Apa yang pasti, atlet berusia 19 tahun itu sedar bukan mudah untuk bersaing, apatah lagi dengan kembalinya Wee Wern yang mengidamkan aksi selepas sekian lama dibelenggu kecederaan.
"Bukan mudah untuk menentangnya (Wee Wern).
"Sudah beberapa bulan saya tidak bertemunya di Kuala Lumpur dan saya pasti dia sedang berlatih dengan gigih," katanya.
Sekiranya terpilih, pusingan separuh akhir menjadi sasaran juara remaja Terbuka British 2018 itu sambil menyifatkan ia adalah temasya yang lebih mencabar dan memerlukan kekuatan mental yang tinggi untuk mengharungi saingan.
"Kekuatan mental perlu dimantapkan lagi di peringkat senior.
"Pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia memiliki tahap fizikal yang lebih baik, bagaimanapun dalam kalangan 20 hingga 30 pemain terbaik dunia, kami hampir serupa," katanya lagi.