Perenang para negara, Nur Syaiful Zulkafli, bagaikan dirompak dalam penampilan pertamanya di pentas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila renangannya dibatalkan dalam pusingan saringan acara 200 meter gaya bebas S5 hari ini.

Lebih mengecewakan, dia bukan sahaja terlepas slot ke pusingan akhir, malah catatannya yang memecahkan rekod Asia tidak diiktiraf gara-gara menampal pita pelekat di bahu kirinya.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Karl Nunis, dia berkata: "Kesilapan saya adalah menampal pita pelekat di bahu saya kerana dalam peraturan, kami tidak boleh menampal apa-apa di bahagian badan.

"Tujuan saya menampal (luka) itu adalah untuk mengelakkan saya daripada mendapat jangkitan dan demam. Jika demam, mungkin saya perlu dikuarantin.

"Dua hari sebelum acara itu, saya sudah berjumpa dengan bahagian perubatan kejohanan dan saya sudah bertanya kepada doktor sama ada saya boleh menggunakannya atau tidak dan dia memberikan dua jawapan berbeza, iaitu saya boleh menggunakannya atau membukanya.

"Saya pergi bilik pemeriksaan (sebelum acara) dan menunjukkan setiap peralatan termasuk pita yang telah dilekatkan di badan saya itu dan mereka kata ia tiada masalah.

"Jadi, saya fikir ia tidak mendatangkan masalah dan terus bersaing dalam acara saya.

"Selepas mendapatkan keputusan yang agak baik, barulah saya menyedari bahawa renangan saya dibatalkan.

"Agak sedikit kecewa tetapi saya berpuas hati dengan prestasi saya.

"Saya menyasarkan untuk memecahkan rekod Asia. Ia telah tercapai tetapi tidak diiktiraf," katanya.