Ketenangan Jong Yee Khie memastikan dia meraih pingat perak Sukan Paralimpik Tokyo 2020 walaupun serba tidak kena dalam angkatan pertama acara powerlifting, pagi tadi.

Atlet berusia 33 tahun dari Sarawak itu mengakui fikirannya bercelaru di peringkat awal pertandingan kategori 107kg di Forum Antarabangsa Tokyo itu sebelum mengangkat beban 237kg -- 2kg kurang daripada catatan terbaik peribadinya -- untuk menamatkan saingan di belakang Enkhbayaryn Sodnompiljee dari Mongolia (245 kg) sementara wakil Iran, Razi Saman, meraih gangsa (231kg).

"Pada mulanya saya terlalu banyak berfikir. Kerap berpesan (kepada diri sendiri) tentang teknik, elak kesilapan dan gemuruh hingga ganggu mental sendiri.

"Apabila terlalu memikirkan untuk mengelak kesilapan hingga melakukannya dalam angkatan pertama.

"Selepas itu saya menikmati persembahan dalam angkatan kedua tetapi dalam percubaan seterusnya, pengadil mengesan sedikit kesilapan hingga memberikan lampu merah kepada saya.

"Sebenarnya saya mahu melihat bendera Malaysia dinaikkan di tengah, memang fokus untuk emas dan mendengar nyanyian Negaraku berkumandang.

"Apapun, saya tetap gembira dengan pingat perak ini dalam penyertaan kedua Sukan Paralimpik," katanya.





Jurulatih negara, Jamil Adam, mengakui tidak panik dengan senario awal itu dan berdasarkan pengalamannya, Yee Khie sememangnya seorang atlet yang bersemangat kental.

"Saya sudah lama melatihnya, dia seorang atlet yang tidak mudah berputus asa.

"Semangat juangnya tinggi terutama ketika menghadapi pertandingan baik di Asia dan Eropah.

"Dia mampu memberi komitmen penuh tanpa gentar, itulah semangat Harimau Malaya yang ada padanya," kata Jamil.

Abangnya, Jong Yee Khin, berkata ketabahan adiknya sememangnya sudah diduga selain tumpang gembira atas kejayaannya mengharumkan nama Malaysia.

"Setahun setengah dia tidak balik rumah, bapa pun sudah lama tidak berjumpa dengannya sebab kami di Kuching.

"Dia memang seorang yang kuat berusaha. Dia kehilangan kakinya tapi tetap belajar, kami turut bersedih.

"Kami takut mengenangkan masa depannya dan sekarang kami boleh gembira dengan kejayaan ini," katanya pula.