Jurulatih skuad pecut negara, Dwayne Miller, berasa gembira apabila khidmatnya kekal penting di Malaysia, di mana dia akan mengendalikan sembilan atlet daripada empat cabang olahraga.

Ia membuktikan kehilangan pelari pecut elit negara, Khairul Hafiz Jantan, Mohd Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa, yang bertindak meninggalkannya untuk bersama bekas jurulatih masing-masing, bukan satu masalah besar menjelang Sukan SEA Vietnam tahun depan.

Jurulatih kelahiran Amerika Syarikat itu kini akan mengendalikan skuad pecut, 400 meter, 800 meter dan lari berpagar dan ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa Kesatuan Olaraga Malaysia (KOM) masih yakin dengan kemampuannya.

Jelas Miller, dia sekarang lebih gembira kerana tugasnya kini lebih meluas dan bukan hanya tertumpu kepada skuad pecut negara sahaja.

"Ia tugas yang bagus, kami mempunyai atlet yang bagus dan saya sedang mencuba untuk membina pasukan ini, bukan sahaja melibatkan atlet pecut tetapi kami sedang mencuba untuk membina sebuah pasukan bagi menghadapi Sukan SEA," katanya kepada Nadi Weekend hari ini.

"Kami juga mempunyai pelari 400 meter yang bagus, selain pelari berpagar dan 800 meter yang bagus, jadi kami akan mencuba untuk membina sebuah pasukan.

"Saya mencuba untuk meletakkan setiap orang di posisi yang betul dan membina beberapa bakat di sini, jadi itulah yang akan saya lakukan, bukan hanya mengembangkan pelari pecut tetapi juga dalam lari berpagar dan 800 meter," katanya.