Norashikin kembali fokus pelajaran, sesi latihan

Penulis Jemputan
September 2, 2017 11:29 MYT
Tamat kempen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bukan bererti waktu untuk beristirahat yang panjang buat penjaring skuad bola jaring sensasi negara, Norashikin Kamalzaman, sebaliknya dia perlu kembali fokus kepada pelajaran dan sesi latihan secara serentak.
Nama Norashikin semakin meniti di bibir penyokong Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur yang berakhir Rabu lalu sebagai penjaring yang cemerlang sehingga berjaya merangkul pingat emas.
Namun, sebaik berakhirnya temasya dwitahunan itu, tiada rehat yang panjang untuknya kerana perlu kembali fokus kepada sesi pembelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas Hari Raya Aidiladha kerana sudah menangguhkan pelajarannya selama dua semester.
Apatah lagi, mereka turut bersedia untuk menghadapi Kejohanan Bola Jaring Piala Negara-Negara di Singapura, Disember depan.
"Kami dipesan agar mengekalkan kekuatan dan stamina," katanya.
Hari Raya Aidiladha kali ini memberi kelainan buat pemain berusia 23 tahun itu kerana pulang dengan kejayaan selepas setahun tidak berkesempatan meluangkan masa bersama keluarga kerana perlu fokus kepada Sukan SEA.
"Selepas Sukan SEA, saya banyak berehat di rumah serta sempat memasak untuk meraikan hari jadi ibu," katanya.