Bekas pemanah negara, Mon Redee Sut Txi, pelik dengan tindakan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) yang membatalkan penyertaan Kejohanan Dunia bermula Ahad ini.

Ini kerana majoriti pemanah yang menyertai Sukan Olimpik Tokyo mengesahkan penyertaan di Amerika Syarikat, sekali gus satu kerugian untuk Malaysia.

Apatah lagi, Khairul Anuar Mohamad tidak dapat mempertahankan pingat perak acara recurve individu lelaki Kejohanan Dunia 2019.

"Saya sendiri melihat berdasarkan 44 negara yang telah berdaftar bakal membuat penampilan. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang dan ia merupakan satu kerugian untuk tidak menghantar pasukan bagi menyertai Kejohanan Dunia," katanya.