Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, bintang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang terlepas ujian pra-musim, terbang ke Qatar dengan kecederaan baru.

Dia kini memiliki masa singkat untuk mencari prestasi terbaik dan menyesuaikan diri dengan jentera sebelum aksi sulung musim 2021 di venue sama, pada 28 Mac ini.

Keperluan menjalani pembedahan mengeluarkan plat besi di tangan kanannya, Februari lalu, menyaksikan Hafizh Syahrin terlepas sesi pra-musim di Jerez, Sepanyol, pada awal bulan ini.

Pelumba berusia 27 tahun itu, yang berangkat ke Doha pada awal pagi tadi, dilihat mengalami kesakitan di bahagian pinggang.


#Bismillahfirst Lets go to Qatar, im ready to fight!??? #RezekiDariAllah #TeamHS #HS55 #HSFamillia #SekkkPejuang

Posted by Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao on Tuesday, March 16, 2021


Sekali gus mencetuskan kegusaran kepada kemampuannya mengendalikan jentera dengan efektif.

"Saya berasa semakin pulih, (tangan) sudah boleh menggenggam.

"Cuma dua hari sebelum terbang, saya tidak pasti urat belakang atau pinggang saya tarik. Dua hari lalu saya terpaksa berjalan dengan tongkat.

"Saya sudah mendapatkan tukang urut cuma berasa sengal-sengal sedikit, saya harap sempat pulih," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Ujian rasmi bagi saingan Moto2 di Litar Antarabangsa Losail, Jumaat ini, menyaksikan Hafizh Syahrin menguji jentera NTS RW Racing GP buat julung kalinya.

"Saya tidak letakkan sasaran, pasukan juga sudah memaklumkan kalau dapat mengutip mata termasuk meraih kedudukan lima teratas dalam perlumbaan dan mencapai yang terbaik.

"Kami berusaha keras dan saya meminta penambahbaikan di bahagian kerangka dan tangki minyak, mereka melakukannya dan ada maklumkan perkembangannya.

"Saya tidak sabar untuk buat ujian ini walaupun tidak berada di tahap 100 peratus."

Good moment before fly to Qatar!????? #teamHS #Sekkkpejuang #HS55 Photo by @deanhilmandh ??

Posted by Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao on Monday, March 15, 2021