Bermula di petak ke-20 bukan penghalang bagi pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk mencatat sejarah tersendiri.

Semuanya selepas Hafizh menamatkan perlumbaan Grand Prix Itali pada kedudukan kesembilan di Litar Mugello.

Di sebalik kritikan demi kritkan yang dilontar peminat sukan permotoran tanah air, Hafizh akhirnya tampil membuktikan wibawanya selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 39 minit 52.516 saat sekali gus meraih lapan mata selain berada pada kedudukan ke-21 dalam siri kejuaraan dunia.

Hafizh ketinggalan 34.849s di belakang juara, Remy Gardner dari pasukan Red Bull KTM yang menamatkan melepasi garisan penamat dengan catatan masa 39:17.667s.

Kejayaan itu membuktikan bahawa Hafizh semakin serasi dengan jentera baharu NTS dan sekali gus, menjadi pencapaian terbaik pelumba negara itu bersama pasukannya.

"Saya bersyukur dengan kejayaan mengakhiri perlumbaan di tempat kesembilan, beberapa lagi perkara yang boleh dipertingkat dalam mutu jentera bagi beraksi dengan lebih cemerlang," katanya.