Kylian Mbappe gembira berkesempatan bergandingan dengan Karim Benzema dalam Kejohanan Euro 2020 sambil menyatakan tidak ada ramai pemain yang lebih baik daripada penyerang Real Madrid itu.

Kelmarin, Benzema, 33, menerima panggilan pertama Perancis dalam tempoh lima tahun untuk membarisi skuad Didier Deschamps itu dalam kempen Eropah yang tertunda.

Sementara itu, Mbappe meneruskan rentak cemerlangnya musim ini apabila penampilan cemerlang dalam kejayaan 2-0 Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Monaco dalam perlawanan akhir Coupe de France, awal pagi tadi, dengan mencipta umpanan kepada jaringan pembukaan Mauro Icardi sebelum dia sendiri menggegar gawang pada hujung perlawanan.

Ia adalah penglibatan gol kelapannya menerusio permainan terbuka sepanjang kempen Coupe de France apabila terbabit dalam lima perlawanan, mengatasi pencapaian musim 2017-18 iaitu sebanyak tujuh kali.

Namun, fokus utama dalam sidang berita selepas perlawanan itu ialah kepulangan Benzema ke pangkuan skuad Les Bleus.

"Saya sangat gembira. Saya sering mengatakan bahawa saya memang teringin beraksi di samping pemain handalan," katanya.

"Saya tidak pernah bersama Benzema. Tidak ramai pemain yang sebaris dengannya di dunia ini. Dia akan menawarkan kami banyak sumbangan.

"Dia beraksi di Madrid selama 10 tahun jadi dia tahu tentang tekanan, dia mempunyai pengalaman dan bakat tinggi. Pemain hebat mampu menyesuaikan diri. Saya yakin dia akan menyesuaikan diri dengan segera."




Mbappe juga ditanya apakah dia akan membantu PSG mempertahankan trofi Coupe de France buat kali ke-15 musim depan.

"Kami harus memanfaatkan gelaran ini," jawabnya sambil tersenyum -- bagaikan mahu mengelak topik sebenar soalan.

"Lihat semua orang yang gembira! Ini yang paling penting. Dan sayalah yang paling bahagia!"

PSG telah memenangi dua trofi musim ini di bawah kendalian Mauricio Pochettino dan menjelang detik akhir pemburuan gelaran Ligue 1.

Sekiranya mereka menumpaskan Brest, awal pagi Isnin depan, sambil Lille keciciran mata ketika berdepan Angers, maka ia akan membuka laluan kepada kelab ibu kota Perancis untuk merampas puncak Ligue 1.

"Kami berusaha setiap hari demi memiliki emosi, penghargaan dan pengiktirafan ini," tambahnya.

"Ini satu usaha keseluruhan sepasukan, kakitangan, yang bekerja setiap hari untuk kami, kelab dan penyokong, jadi gelaran ini juga untuk mereka.
"Apabila anda beraksi untuk PSG -- salah satu kelab terbaik di dunia, yang terbesar di negara ini maka setiap gelaran penting."

Sementara itu, pengurus Monaco, Niko Kovac, mengatakan ada jurang besar di antara pasukannya dalam pertemuan di Stade de France terbabit.

"Perbezaan malam ini adalah Mbappe," katanya.

"Dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia andai bukan yang terbaik pada saat ini. Semua kelab mendambakan sentuhannya. Kami pernah memilikinya tapi tidak lagi."