Cameron Norrie menjadi pemain British pertama memenangi Kejohanan Tenis Masters Indian Wells selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Nikoloz Basilashvili hari ini.

Norrie tewas dalam set pertama sebelum mempamerkan aksi menakjubkan untuk menang 3-6, 6-4, 6-1, sekali gus merangkul gelaran terbesar dalam kariernya.

Pemain nombor 26 dunia itu menjadi pemain lelaki pertama berada di luar kelompok ranking 25 pemain terbaik memenangi kejohanan di California itu sejak Ivan Ljubicic melakukannya pada 2010.

Dia juga kini melonjak ke tangga ke-10 dalam perebutan tempat ke Jelajah Final ATP bulan depan.

"Ia sesuatu yang amat bermakna buat saya, ia gelaran terbesar saya setakat ini. Saya amat gembira. Saya tidak dapat menggambarkannya buat masa ini," kata pemain pilihan ke-28 itu dalam temu bual di atas gelanggang.

"Ia satu perlawanan yang agak aneh hari ini tetapi ia sememangnya sesuatu yang besar buat saya dan pasukan saya.

"Saya tidak dapat mempercayainya. Jika anda berkata sebelum perlawanan ini bahawa saya akan menang, saya tidak akan mempercayainya. Ia benar-benar luar biasa," katanya.