Angelique Kerber tersingkir daripada Kejohanan Tenis Masters Indian Wells selepas tewas 'straight-set' kepada Paula Badosa dalam suku akhir di California hari ini.

Bekas pemain nombor satu dunia dan pilihan ke-10 kejohanan itu terpaksa akur derngan kekalahan 6-4, 7-5 dalam masa 86 minit.

Badosa, yang layak ke suku akhir Terbuka Perancis tahun ini, mensia-siakan dua mata akhir ketika di kedudukan 5-2 dalam set kedua berdepan juara grand slam tiga kali, Kerber, sebelum menenangkan dirinya untuk layak ke separuh akhir buat kali kelima sepanjang musim ini.

Dalam separuh akhir, Badosa akan berdepan pemain pilihan ke-12 dari Tunisia, Ons Jabeur, yang mengatasi Anna Kontaveit dalam satu lagi perlawanan untuk menjadi pemain berbangsa Arab pertama menduduki ranking 10 teratas dunia dalam WTA mahupun ATP.

Ia merupakan penampilan pertama Badosa di Indian Wells dan pemain pilihan ke-21 itu turut menjadi wanita Sepanyol pertama layak ke separuh akhir kejohanan itu selepas 18 tahun.

"Ia kedengaran hebat," katanya dalam temu bual dalam gelanggang.

"Set kedua amat menguji secara mental. Saya terlalu mahukan kemenangan dalam perlawanan ini, saya menjadi terlalu gemuruh.

"Pada satu ketika, saya memikirkan siapa yang sedang saya hadapi, saya menjadi lebih gementar apabila memikirkan sedang berdepan juara grand slam tiga kali.

"Ia amat bermakna buat saya. Ia amat luar biasa," katanya.