Marquez kembali berlumba musim depan, Dovizioso rehat setahun

Shaiful Shamsudin
November 10, 2020 23:41 MYT
Juara bertahan MotoGP, Marc Marquez, mengesahkan tidak akan kembali berlumba tahun ini sejak mengalami patah tangan, Julai lalu.
Harapan Marquez untuk memburu gelaran kelima berturut-turut berakhir dengan kecederaan yang dialaminya dalam pembukaan kempen 2020 di Jerez.
Bintang Repsol Honda itu terbabas ketika mendahului Grand Prix (GP) Sepanyol sebelum menarik diri daripada perlumbaan itu, kemudian hampir membuat kemunculan semula luar biasa dalam perlumbaan berikutnya.
Marquez, yang tidak pernah tercicir dalam sebarang perlumbaan MotoGP sepanjang kariernya, bagaimanapun telah menjalani dua pembedahan di tangannya.
Sejak itu, Stefan Bradl menggantikan tempatnya dan bersedia untuk meneruskannya sepanjang musim ini yang berbaki dua pusingan sementara penunggang kelahiran Sepanyol itu hanya menyasarkan akan kembali tahun depan.
"Musim ini saya tidak akan menyertai perlumbaan lagi," kata Marquez di Twitter selepas Honda mengeluarkan kenyataan secara rasmi.

This season I will not compete again. After evaluating how the arm is doing with the Doctors and my team, we have decided that the best option is to return next year. It's time to continue with the recovery. Thanks for the messages of support. Looking forward to returning in 2021 pic.twitter.com/WlQI3BntTN

— Marc Márquez (@marcmarquez93) November 10, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Selepas menilai keadaan lengan saya ini bersama-sama doktor dan pasukan, kami memutuskan bahawa pilihan terbaik adalah kembali tahun depan.
"Ini merupakan tempoh untuk meneruskan pemulihan. Terima kasih atas mesej sokongan kalian. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk kembali pada 2021."
Bradl di kedudukan ke-20 sementara Alex Marquez -- adik kepada Marc -- berada di tangga ke-14 tetapi menduduki tempat kedua dalam perlumbaan berturut-turut sebelum gagal menamatkan persembahan dalam dua aksi terakhir.
Sementara itu, Andrea Dovizioso akan berehat sepanjang musim 2021 tetapi menaruh harapan untuk kembali ke MotoGP pada masa akan datang.
Ogos lalu, kerjasama selama lapan tahun Dovizioso bersama Ducati sah akan berakhir pada penghujung musim ini.
#motoGP #Marc Marquez #Andrea Dovizioso #Repsol Honda