Skuad hoki negara perlu memanfaatkan empat aksi persahabatan di Belgium ketika ini sebagai persiapan bagi mengharungi Kejohanan FIH Odisha Hoki Piala Dunia (Lelaki) 2023 yang bakal berlangsung pada Januari 2023.

Ketua Jurulatih The Malaysian Tigers, Arul Selvaraj, berkata aksi persahabatan itu penting bagi menguji tahap keupayaan pemain setelah 10 minggu menjalani latihan fizikal.

“Empat perlawanan persahabatan tersebut amat penting untuk pasukan sebagai rangka persiapan kami menuju ke Kejohanan FIH Odisha Hoki Piala Dunia (Lelaki) 2023.

“Antara fokus kami dalam aksi persahabatan ini adalah mempersiapkan pasukan menjelang Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022 yang akan bermula pada 1 hingga 10 November 2022 dengan menilai tahap dan prestasi pasukan menjelang kejohanan tersebut.

“Selain itu, aksi persahabatan ini merupakan landasan buat pemain seperti Mohd Zaimi Mat Deris, Muhammad Aminuddin Mohd Zain, Muhamad Ramadan Rosli, dan Syarman Mat Tee yang belum pernah mengikuti perlawanan berintensiti tinggi pada tahun ini sekali gus memberikan peluang kepada mereka untuk membuktikan kemampuan yang dimiliki,” katanya sebentar tadi.




Untuk rekod, seramai 22 pemain skuad Malaysian Tigers akan bertolak ke Belgium esok dan akan ‘berkampung’ di Brussels sepanjang Siri Jelajah Belgium mulai 27 September hingga 6 Oktober.

Selain itu, siri Jelajah Persahabatan kali ini juga tidak akan menampilkan pemain tonggak, Faizal Saari yang kini masih beraksi di Liga Utama Belanda bersama Kelab Hoki ZSV Schaerweijde dan Mohamad Ashran Hamsani yang masih menjalani sesi pemulihan.

Sementara itu, Arul berkata, skuad kendaliannya itu bakal berdepan pasukan terbaik dunia seperti Belgium dan Belanda.

“Pasukan yang bakal kami temui merupakan pasukan yang terbaik di mana Belgium seperti yang kita semua sedia maklum merupakan pasukan di ranking kedua dunia, manakala Perancis pula menduduki tangga ke-11.

“Oleh itu, saya pasti siri perlawanan persahabatan ini akan menguji tahap ketahanan, pemikiran dan cara pemain membuat keputusan di atas padang,” katanya.

Kredit: Sinar Harian