Malaysia tidak akan tarik diri daripada Sukan Olimpik Tokyo

Muzaffar Musa
Februari 10, 2021 14:27 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menggambarkan bahawa Malaysia tidak akan menarik diri daripada Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan meskipun dunia masih belum bebas daripada pandemik COVID-19.
Dalam Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2021 yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, Reezal Merican menjangkakan temasya terbesar dunia itu dilangsungkan tanpa kehadiran penonton dan negara penganjur, Jepun, sedang menyediakan buku panduan berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi edisi kali ini.
"Jawatankuasa penganjur akan menyediakan buku panduan mengenai penganjuran yang antara lainnya menyentuh soal SOP yang sangat ketat dan penganjuran Sukan Olimpik tanpa penonton berkemungkinan akan berlaku.
"Kita akan terus berdoa agar tahun 2021 akan memberikan lebih kejayaan buat Malaysia.
"Segala kejayaan dalam bidang sukan ini sebenarnya akan memberikan inspirasi buat generasi muda dan warga belia secara keseluruhannya," katanya.
#Kementerian Belia dan Sukan #Reezal Merican Naina Merican #Sukan Olimpik 2020