Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 menjadi pentas buat pelumba negara menyinar tetapi daripada segi penganjuran, mesyuarat bedah siasat mendedahkan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

Saingan LTdL 2020 yang berlangsung 7 sehingga 14 Februari lalu mempunyai lapan peringkat yang bermula di Sarawak dan berakhir di Langkawi sambil memiliki satu perlumbaan kriterium di Sabah.

Ia menyaksikan penganjur menghadapi masalah daripada segi penyertaan pasukan berstatus Jelajah Dunia serta logistik susulan perlumbaan diadakan di Sabah dan Sarawak.

"Kesemua agensi telah memberi pandangan mengenai kejohanan yang diadakan. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah menyuarakan beberapa isu kecil untuk penambah baikan tahun depan. Mereka juga meminta penganjur menitik beratkan kehadiran pasukan berstatus Jelajah Dunia dalam edisi seterusnya," kata Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh.

Untuk rekod, LTdL edisi ke-25 berjaya mengangkat nama pelumba tempatan seperti wakil Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Salleh, serta pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Nur Aiman Zariff, yang berjaya memahatkan nama Malaysia dalam sejarah perlumbaan itu.