Pasukan Hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melaungkan amaran awal bahawa mereka akan menguasai Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini selepas menumbangkan satu lagi pasukan pilihan, Terengganu Hockey Team, (THT) 4-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

THT membelasah sabah 11-0 dalam perlawanan pertama tetapi mereka sudah dibolosi seawal minit ke-13 apabila Razie Rahim memanfaatkan pukulan sudut penalti Marhan Abdul Jalil untuk meletakkan UniKL di depan.

Juara Piala Sumbangsih itu kemudian menggandakan kelebihan mereka menerusi Pavandip Singh pada minit ke-26, juga menerusi pukulan sudut penalti.

Gandingan Marhan dan Razie dalam gerakan set piece ternyata memberikan kesukaran buat THT untuk bekas kapten negara itu sekali lagi menemui sasaran dalam babak kedua.

UniKL kemudian menghasilkan jaringan padang pada minit ke-42 apabila pukulan ke belakang Sukri Mutalib berhasil menewaskan penjaga gol lawan, Hafizuddin Othman.

THT kemudian memberikan reaksi untuk merapatkan jurang menerusi gol Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-51 dan pukulan sudut penalti Arif Syafie Ishak berselang dua minit.


Keputusan lain:
UiTM 0-1 Maybank
Sabah 0-2 TNB Thunderbolts
Nurinsafi 0-6 TNB