LHM: THT nyaris diaibkan UiTM

Tengku Danish Bahri
Februari 20, 2019 10:53 MYT
THT 4 UiTM 2
Juara bertahan Liga Hoki Malaysia (LHM), Pasukan Hoki Terengganu, dipaksa bekerja keras oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum menang 4-2 di Kuala Terengganu, petang tadi.
THT mendahului pada awal permainan menerusi gol padang Mohamad Shazwi Rani pada minit keenam, namun pendahuluan tersebut dipadam Nor Azrul Abd Rahman pada minit ke-13.
Aksi selepas itu menyaksikan UiTM dihidang pukulan sudut penalti, malangnya usaha Mohd Izuan Azhar (m-25) dan Mohd Khairul Naim Johari (m-35) diselamatkan penjaga gol, Mohd Hazrul Faiz Ahmad Sobri.
Penyerang kebangsaan, Faizal Saari, kemudian menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-44 untuk menjadikan kedudukan 2-1 buat THT.
THT melebarkan jaringan pada minit ke-51 selepas hantaran Jung Man-jae berjaya disambar Gonzalo Merino, namun UiTM merapatkan kedudukan 2-3 melalui penalti strok Muhammad Haikal Abd Muthalib (m-58).
Man-jae seterusnya meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-59 untuk memastikan kemenangan 4-2 THT dalam aksi terakhir di hadapan penyokong sendiri.
Berbaki satu perlawanan, THT terpaksa berpuas hati menamatkan liga di kedudukan ketiga dengan 22 mata, sekaligus menjadi musim mengecewakan buat mereka.