LHM: Faizal sekat hajat UniKL lakar kemenangan

Penulis Jemputan
Januari 21, 2018 15:00 MYT
Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, tetap berpuas hati dengan kejayaan mengikat pasukan pilihan, Terengganu Hockey Team (THT), 2-2 biarpun pasukannya dilihat berpeluang untuk mencemarkan rekod tanpa kalah pendahulu liga itu.
UniKL, yang dilihat lebih mencabar musim ini, berjaya mendahului 2-1 selepas dua suku permainan hasil jaringan penyerang utama, Jeroen Dolf Hertzberger.
Bagaimanapun, jaringan kontroversi Faizal Saari pada minit ke-43 menyekat hajat UniKL untuk mencipta kemenangan bersejarah buat kali pertama ke atas THT.
Selvaraj memuji kesungguhan yang dipamerkan pasukan biarpun majoriti pemainnya kecewa di sebalik keputusan seri berkenaan.
"Saya berasakan emosi pemain-pemain kecewa kerana gagal untuk meraih kemenangan di atas persembahan kami," kata Selvaraj.
"Saya dapat melihat persembahan pasukan meningkat daripada perlawanan demi perlawanan dan kami mahu meneruskan momentum ini."
Jurulatih THT, Sarjit Singh, mendakwa pemainnya beraksi di bawah tahap sebenar untuk mengekalkan penguasaan mereka di tangga teratas liga.
Beliau melihat cabaran makin meningkat buat THT jika mahu merampas semula kejuaraan liga yang kali terakhir mereka miliki pada 2016.
"THT gagal mempamerkan persembahan yang terbaik, kami amat bernasib baik untuk meraih satu mata," katanya.
"Beraksi dengan lapan pemain selepas dua pemain kami dilayangkan kad kuning menyukarkan keadaan. Ini merupakan satu keputusan yang sudah memadai buat kami."
Sementara itu, satu lagi pertembungan membabitkan pasukan atasan liga, TNB menentang Maybank, turut berakhir dengan keputusan seri, sekali gus menyekat hasrat skuad bimbingan Nur Saiful Zaini untuk memintas THT di puncak liga.
Gol pembukaan hanya hadir pada suku kedua perlawanan menerusi pukulan sudut penalti Shahril Saabah untuk TNB mendahului perlawanan.
Bagaimanapun, kelebihan itu gagal membawa TNB mencari tambahan jaringan dengan suku ketiga tamat dengan keputusan kekal 1-0.
Pada minit ke-55, Maybank berjaya menembusi pertahanan TNB, dengan Danial Asyraf Ghani berjaya melakukan jaringan padang bagi memastikan satu mata diraih oleh kedua-dua pasukan.
Keputusan:
KLHC 7 TNB Thunderbolts 0
UniKL 2 THT 2
TNB 1 Maybank 1