KRM pinjam khidmat Mika, jalin kerjasama dengan Jepun

Penulis Jemputan
Julai 22, 2018 09:57 MYT
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) perlu mendapatkan khidmat Brad Mika untuk melatih skuad 15 sepasukan negara secara pinjaman memandangkan dia masih mempunyai kontrak dengan Kesatuan Ragbi Sabah (SRU).
Nadi Arena pada Jumaat mendedahkan bahawa Mika masih belum mendapat pengesahan dalam bentuk hitam putih daripada KRM meskipun pelantikannya diumumkan bulan lalu.
Dia diberi tanggungjawab untuk mengemudi skuad negara susulan peletakan jawatan Lee Nyuk Fah sebaik berakhirnya kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2018.
Jelas Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan SRU serta pengurus skuad negara, Datuk Zainal Rafique, mengenai status Mika.
"Kami mencapai persetujuan dengan SRU untuk meminjamkan Mika dalam tempoh yang diperlukan bersama pasukan negara," kata Shahrul Zaman selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk berkenaan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Beberapa agenda utama turut dibincangkan, antaranya tempoh yang sesuai bagi menganjurkan Liga Ragbi Malaysia (MRL) selepas saingan tahun ini ditunda ke Januari 2019.
Menurut Shahrul Zaman lagi, beliau dan beberapa wakil badan induk berkenaan akan ke Jepun bulan depan bagi meneliti struktur liga profesional di sana.
"Kami akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ragbi Jepun tentang kebarangkalian untuk menjalin kerjasama bagi mewujudkan liga semi-profesional mahupun profesional mengikut acuan Liga Profesional Jepun," katanya.