Virandeep Singh mencipta sejarah apabila muncul pemain kriket negara pertama menjuarai Liga Perdana Nepal bersama pasukannya, Chitwan Tigers.

Chitwan Tigers menewaskan Pokhara Rhinos dengan kelebihan empat Wicket dalam aksi final di Kirtipur semalam.

Menerusi perkongsian Virandeep bersama wartawan, Karl Nunis, dalam Nadi Weekend hari ini, pemain negara itu mengakui bahawa dia kini lebih memahami erti semangat sepasukan sebenar sambil melabel pengalamannya bersama Chitwan Tigers sebagai momen terbaik sepanjang kariernya.

"Saya amat-amat gembira kerana ini merupakan liga francais pertama saya dan kami memenanginya.

"Daripada segi pengalaman, saya banyak belajar kerana mereka bermain di satu tahap yang lebih tinggi -- daripada segi pendedahan.

"Pemain kami di sini sudah biasa bermain di tahap tertinggi. Mereka banyak beraksi di peringkat antarabangsa, jadi mereka banyak berkongsikan pengalaman mereka kepada kami.

"Jadi, saya banyak belajar daripada mereka dan perkara paling penting, mereka semua amat rendah diri dan sangat baik hati.

"Saya fikir ini adalah pasukan terbaik yang pernah saya sertai. Saya kini memahami nilai sebenar semangat sepasukan dan saya amat menikmati setiap waktu saya di sini dan bersyukur dengan peluang yang diberikan," katanya.