Pemain kriket India, Jasprit Bumrah, menyifatkan pendekatan pukulan yang agresif sebagai punca kekalahan mereka kepada New Zealand dengan lapan wiket dalam Piala Dunia T20, awal pagi tadi.

Selepas pasukan pilihan itu hanya mencatatkan 110-7 daripada 20 over, Bumrah dan rakan pembalingnya tidak dapat menyekat lawan untuk mendahului dengan dua wiket ketika permainan berbaki lima setengah over.

Keputusan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi tadi itu merupakan kekalahan kedua India dan secara tidak langsung memudarkan harapan mereka untuk mara.

Selepas tunduk kepada Pakistan dengan 10 wiket dalam perlawanan pembukaan, ini bermakna India perlu memburu kemenangan ketika menentang Afghanistan, Scotland dan Namibia sambil mengharapkan keputusan perlawanan lain.

Pasukan bimbingan Virat Kholi itu sukar menyaingi Black Caps dan ia diakui kapten India tersebut dalam sidang media selepas perlawanan.

Ketika ditanya mengenai inning pertama, Bumrah berkata: "Kami mahu mendapatkan larian tambahan yang boleh memberi kelebihan dalam inning kedua. Saya fikir dalam proses itu kami banyak melakukan pukulan menyerang. Ia tidak berlaku hari ini.

"Saya rasa ia mempunyai kaitan dengan pendekatan awal pemukul kami kerana dalam inning kedua, kami jangka pukulan menjadi lebih mudah. ​​Ini kerana kami mahu meringankan tugas pembaling. Saya fikir itu adalah satu bentuk pemikiran. Saya fikir dalam proses itu, wujud kecenderungan untuk terlalu mengasak."