Koronavirus: Dua pasukan dari China tarik diri sertai LTdL

Penulis Jemputan
Januari 28, 2020 09:15 MYT
Saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) turut menerima tempias koronavirus apabila pasukan dari China, Heng Xiang Cycling Team sah menarik diri, manakala status dua lagi pasukan dari China dan Hong Kong masih menanti pengesahan.
Penganjur LTdL, Human Voyage sah terima penarikan diri pasukan itu Isnin lalu.
Biarpun Heng Xiang berpengkalan di Shanghai dan bukanlah dari Wilayah Wuhan Hubei, kawasan yang mengalami penularan wabak koronavirus, mereka mengambil inisiatif untuk tidak turut serta bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku seandainya meninggalkan China.
"Setakat ini, salah satu pasukan tidak terlibat dari China tidak berpengkalan di negara tersebut. Kami akan membuat pengesahan dengan pasukan dari negara itu tentang penglibatan mereka," kata Ketua Pegawai Operasi LTdL 2020, Shahaizereen A. Hamid.
Human Voyage juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk bersiap siaga memandangkan masih lagi menanti pengesahan penyertaan tiga lagi pasukan, Giant Cycling, SSOIS Miogee dan satu lagi wakil Hong Kong.
Tugas tambahan buat Human Voyage untuk mencari pasukan ganti mengisi kekosongan dtinggalkan dengan waktu makin suntuk buat mereka sebelum saingan bermula 6 Februari depan.
"Kami telah sedia maklum dan mengambil langkah dengan memastikan ujian kesihatan dilakukan oleh peserta dari China dan menghantar keputusan kepada pihak penganjur sementara meletakkan mereka di bilik kuarantin sewaktu mereka tiba di Malaysia."
Editor: Ammar Hakim