Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sudah memohon kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membawa jurulatih lompat tinggi negara, Alexander Gasparyan, ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Ia bagi membantu jaguh negara, Lee Hup Wei, yang akan membuat penampilan ketiga temasya selepas edisi Beijing 2008 dan London 2012 berikutan layak secara merit dengan menghuni ranking ke-27 kelayakan.

Namun, wujud persoalan mengenai status jurulatihnya memandangkan KOM sudah mencalonkan Setiausaha Agung Kesatuan Olahraga Amatur Kedah, S Govindaraju, sebagai pengurus pasukan olahraga ke Jepun.

"Kami sudah menyerahkan nama pengurus untuk ke Tokyo.

"Kami memang pernah berjanji akan membawa jurulatihnya sekiranya Hup Wei layak secara merit.

"Bukan mudah tapi kami telah menghantar nama jurulatihnya kepada MOM.

"Keputusannya akan diketahui pada Selasa ini dan apapun, proses ini perlu patuhi," kata Presiden KOM, Datuk SM Muthu, yang ditemui di Bukit Jalil hari ini.





Hup Wei tetap menegaskan teguran Gasparyan amat mustahak berikutan tidak rela sekadar menjadi penumpang di Tokyo kelak.

"Kehadiran jurulatih penting sebab dia boleh tolong tengokkan teknik lompatan saya.

"Kalau orang lain yang pergi dia cuma boleh merekodkan lompatan saya sahaja.

"Andai kata persembahan saya tidak berapa bagus pada hari pertandingan, jurulatih masih sempat tegur apa kesilapan saya termasuk aspek psikologi.

"Kami sentiasa berbincang sebaik saya melakukan lompatan," kata atlet berusia 34 tahun itu.