Atlet sukan seni bela diri campuran (MMA) negara, Agilan Thani, berasakan kejayaan yang diraih Khabib Nurmagomedov sepanjang 12 tahun karier gemilangnya wajar dijadikan panduan buat semua yang menceburi sukan tempur itu.

Khabib mengumumkan persaraannya selepas menewaskan Justin Gaethje dalam perlawanan UFC 254 awal pagi tadi.

Petarung Russia itu menamatkan kariernya dengan rekod 29 kemenangan tanpa kalah mahupun seri kerana menuruti perintah ibunya yang tidak mahu lagi dia bertarung selepas kehilangan bapanya, Manap Nurmagomedov, gara-gara COVID-19 pada Julai lalu.

Bagi Agilan, yang terkenal dengan julukan Alligator, kisah hidup Khabib dan bapanya sehingga ke pentas tertinggi UFC itu wajar dijadikan panduan buat semua atlet MMA.

"Hubungannya dengan kedua orang tuanya amat kuat kerana mereka memberinya sokongan penuh untuk dia menceburi sukan ini sejak dari kecil.

"Hidupnya dari muda hingga tua hanya mengenai seni bela diri, jadi apabila orang tuanya mahu dia berhenti, saya fikir dia perlu menghormatinya dan itulah yang dilakukannya.

"Orang seperti Khabib amat hebat kerana dia benar-benar menunjukkan bahawa menjadi seorang ahli sukan adalah tentang menghormati, terutama dalam seni bela diri, ia tentang rendah diri, mempunyai keberanian untuk mendorong diri tanpa menunjukkan dia seorang yang jahat.

"Bapa saya pada mulanya tidak suka saya bertarung. Dia mahu saya menceburi kejuruteraan komputer tetapi markah SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tidak cukup, jadi saya perlu bekerja di gimnasium.

"Selepas tiga tahun barulah bapa saya mula menyokong saya sedikit tetapi kini dia menyokong saya 100 peratus.

"Saya hanya membesar dengan bapa, tidak pernah berjumpa dengan ibu saya, jadi ia tidak sama seperti Khabib tetapi ia cara yang sukar untuk sampai ke tahap ini," katanya.

Juara welterweight ONE Championship itu turut mendedahkan bahawa dia sudah 11 bulan tidak bertarung berikutan pandemik COVID-19 sehingga terpaksa bekerja sebagai penghantar bungkusan dan jurulatih atas talian.

Bagaimanapun, pihak pengurusannya sedang berunding untuk mengadakan satu pertarungan yang dijangka pada bulan depan.