Kerja baik pulih Stadium Hoki Nasional siap sepenuhnya

Penulis Jemputan
Mac 19, 2019 05:11 MYT
Padang Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil siap dipasang sebulan lebih awal daripada jadual asal menjelang Kejohanan Siri Hoki Final bermula 26 April depan.
Stadium ini telah ditutup sejak 11 Februari lalu untuk kerja-kerja baik pulih selepas mengalami kerosakan permukaan padang.
Difahamkan, kerja-kerja baik pulih itu akan mengambil masa enam minggu dengan kos baik pulih itu masih di bawah jaminan kontraktor dan ia telah disiapkan sepenuhnya.
"Kami menggunakan permukaan padang polyethylene (PE) dan telah mendapat kelulusan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Padang Stadium Hoki Nasional mendapat status Padang Elit Global," kata kontraktor, Datuk Dr I. Thanuraj.
Menurutnya, permukaan padang hoki itu akan mampu digunakan dalam tempoh 10 tahun di samping menjelaskan padang PE itu sangat bersesuaian dengan suhu di Malaysia.
"Jaminan diberikan selama lapan tahun dan kami menjangkakan ia dapat digunakan sehingga 10 tahun," ujarnya.
Padang baru itu bakal diuji oleh skuad hoki wanita negara bagi menghadapi saingan Kejohanan Siri Final Dunia yang bakal berlangsung bulan depan.