Keluarga Gauff tepis masalah kemurungan

Shaiful Shamsudin
April 20, 2020 00:59 MYT
Ibu bapa Coco Gauff meredakan kebimbangan mengenai kesihatan mental pemain sensasi remaja itu setelah dia membangkitkan soal bergelut dengan kemurungan.
Gauff semakin terkenal selepas mara ke pusingan keempat Wimbledon dalam penampilan sulungnya di pentas Grand Slam tahun lalu ketika baru berusia 15 tahun.
Pemain Amerika Syarikat (AS) itu memenangi gelaran perseorangan WTA pertamanya di Linz musim lalu termasuk melangkah ke pusingan keempat Terbuka Australia, tiga bulan lalu.
Gauff di program 'Behind the Racquet' mendedahkan dia berasa adalah sukar untuk menggalas harapan yang begitu tinggi pada usia muda dan telah mempertimbangkan untuk berehat selama setahun dalam sukan itu.
Pemain nombor 52 dunia itu mengatakan bahawa dia "benar-benar tertekan" selama kira-kira setahun tetapi bapanya memberitahu New York Times pemain tersebut tidak menderita kemurungan.
Corey Gauff yang dianggap salah seorang jurulatih ajaib berkata: "Ini adalah satu perkara yang membimbangkan (dengan menyatakannya dalam keadaan tertekan), dan saya tahu itu akan perhatian utama.
"Dia tidak pernah mengalami kemurungan secara klinikal, tidak pernah didiagnosis dengan kemurungan, tidak pernah merujuk dengan sesiapa pun tentang kemurungan ini."
Tambahnya: "Dia tidak perlu mengambil sebarang ubat-ubatan. Ini adalah tekanan peribadi yang mereka wujudkan kepada diri mereka sendiri serta bagaimana mereka akan menghadapinya dan bagaimana mereka akan menempuhi zaman kedewasaan."
Candi Gauff percaya kekalahan anak perempuannya itu kepada lawan yang lebih tua dalam saingan remaja mungkin menjadi penyebabnya.
Dia berkata: "Ia menyebabkannya berasa terasing dalam kejohanan sehingga menimbulkan kesedihan, jadi ada masanya dia tidak bahagia.
"Saya tidak mahu menyebut perkataan 'cemburu' tetapi itu adalah satu semangat yang cenderung kepada 'mengapa gadis muda ini menang?' Jadi dia berasa terasing."
Candi juga berpendapat Coco mungkin berasakan dia telah kehilangan sesuatu apabila melihat apa yang kebanyakan remaja lakukan di media sosial memandangkan dia hanya belajar di rumahnya sejak gred ketiga.
Menurutnya: "Dia melihat remaja lain menyiarkan gambar mereka menghadiri majlis di sekolah menengah dan ia membuatkannya tertanya-tanya bagaimana kehidupannya jika dia tidak bermain tenis."
#Tenis #Coco Gauff