Kejohanan Juara Antara Juara: Emma muncul naib juara

Penulis Jemputan
November 5, 2017 08:28 MYT
Cabaran wakil Malaysia, Emma Firyana, untuk bergelar juara dua kali berturut-turut tidak kesampaian apabila tewas kepada Laura Daniels dari Wales dalam final Kejohanan Boling Padang Juara Antara Juara, di Sydney, sebentar tadi.
Emma mencipta impak selepas menewaskan wakil Australia, Carla Krizanic, 10-2, 4-9, 5-0 dalam saingan playoff sebelum mengejutkan juara Kumpulan A, Donna Knight dari England, 11-10, 12-6 untuk menempah slot ke final.
Berdepan Daniels, Emma ketinggalan pada set pertama 6-8 sebelum membawa perlawanan ke set penentuan apabila memenangi set kedua 7-5.
Gagal meneruskan momentum, Emma terpaksa akur dengan kekalahan kepada Daniels yang unggul dalam set ketiga 5-1, sekaligus meranapkan impian wakil Malaysia itu untuk menjuarai kejohanan yang sama buat kali kedua.