Penolong jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri, mempertahankan prestasi Shah Firdaus Sahrom, yang terkandas dalam repechage pusingan pertama acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis semalam.

Ia kerana pelumba negara itu tidak mendapat banyak peluang untuk berlatih di Velodrom Jean Stabilinski berikutan protokol COVID-19.

Perkara itu menjadi punca Shah Firdaus tidak dapat menyesuaikan diri dengan velodrom berkenaan, sekali gus menyukarkannya untuk mempamerkan kayuhan terbaik.

Harnizam berkata kepada Nadi Arena: "Dia (Shah Firdaus) berlumba secara konservatif untuk mengelakkan daripada terjatuh atau berlanggar dalam perlumbaan itu.

"Ini merupakan perlumbaan pertamanya sejak Sukan Olimpik Tokyo dan prestasinya masih belum berada di tahap optimum atau 100 peratus selepas waktu rehat yang agak panjang -- hampir sebulan.

"Keadaan trek di setiap venue sudah semestinya berbeza dan trek kali ini mempunyai laluan lurus yang panjang dan selekoh yang tajam. Ia menyukarkan kita untuk mengambil selekoh dengan sepenuhnya, jadi kerana itu dia lebih berhati-hati untuk mengambil selekoh," katanya.