Kejohanan Antarabangsa Itali: Pemain remaja tempatan tumbangkan Wawrinka

Shaiful Shamsudin
September 16, 2020 03:25 MYT
Stan Wawrinka tersungkur kepada Lorenzo Musetti dalam Kejohanan Tenis Antarabangsa Itali selepas pemain remaja tempatan itu merakam kemenangan 6-0, 7-6 (7-2).
Wawrinka menempuhi situasi buruk ketika menentang pencabar berusia 17 tahun itu dalam set pertama apabila hanya memperoleh tujuh mata menerusi servis sendiri tatkala lawannya yang berkedudukan nombor 249 dunia, merampas tiga daripada empat break point.
Juara Terbuka Perancis 2015 itu sekali lagi gagal melancarkan servis jitu dalam pembukaan set kedua sebelum menemui rentak ketika 1-2 sebelum aksinya kembali kendur untuk 3-3.
Pemain berusia 35 tahun itu berpeluang untuk mengikat kedudukan tetapi bermula di kedudukan 1-1, Musetti meraih lima mata berturut-turut untuk menamatkan pertarungan.

Remember the name: Lorenzo Musetti The #NextGenATP ?? stuns Wawrinka 6-0, 7-6(2) for his first ATP Tour win!@InteBNLdItalia | #IBI20 pic.twitter.com/ZJ1ksawcdH

— ATP Tour (@atptour) September 15, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, Andrey Rublev dan Denis Shapovalov -- yang ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) sebelum ini -- masing-masing turun sebagai pilihan kesembilan dan ke-12 di Rom mara menerusi kemenangan tipis.
Rublev yang membuat kemunculan pertama dalam kejohanan ini menghasilkan kemenangan 6-4, 6-4 ke atas Facundo Bagnis sekali gus mengatur pertemuan pusingan kedua dengan Hubert Hurkacz sementara Shapovalov mencatat 23 servis ace selain meraih 12 daripada 15 mata di depan jaring untuk mengungguli Guido Pella 6-2, 6-3.
Novak Djokovic pula bakal memulakan kempennya menentang wakil tiket peluang khas, Salvatore Caruso -- yang mencipta kejutan menyingkirkan Tennys Sandgren.
Milos Raonic, yang ditundukkan Djokovic dalam perlawanan akhir Kejohanan Western & Southern, juga akan meneruskan aksi selepas menewaskan Adrian Mannarino 7-6 (7-3), 6-2.