KBS rayu sektor swasta tampil taja Hafizh musim depan

Bernama
Oktober 12, 2019 09:21 MYT
Sektor swasta dirayu untuk membantu ikon sukan permotoran negara, Hafizh Syahrin Abdullah, untuk meneruskan aksinya dalam perlumbaan Moto2 musim depan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada menyalurkan dana kepada Hafizh melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun menjangkakan ia tidak akan mencukupi untuk menampung keperluan pelumba itu, terutama dalam persediaan menghadapi musim baru 2020.
“KBS dan SIC adakan perbincangan dan kami memang akan tampung peruntukan yang agak besar bagi penyertaannya, namun masih tidak cukup. Ia tidak boleh hanya kerajaan, sektor korporat juga perlu membantu.
“Saya pun sudah berkali-kali berjumpa dengan pihak Petronas, mereka ada sampaikan pendapat mereka, saya tetap perlu menghormati Petronas sebagai penaja terbesar kita dalam permotoran.
“Cuma sekarang saya tengah cari jalan terbaik untuk membina ‘jambatan kukuh’ di antara Petronas dan Hafizh. Kita tahu apa berlaku pada masa silam tetapi kita perlu bergerak ke hadapan,” katanya.
Syed Saddiq berharap peminat sukan permotoran terus menyokong perjalanan karier Hafizh dalam Moto2 agar dia lebih bersemangat untuk kembali ke saingan MotoGP.
Untuk rekod, Hafizh merupakan pelumba Malaysia pertama bersaing dalam kelas perdana MotoGP pada 2018 dengan menyertai pasukan Yamaha Tech3 Racing.
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu terpaksa bergelut pada musim ini selepas bertukar kepada jentera KTM yang menyaksikan dia gagal meraih keputusan memberangsangkan.
Ekoran daripada itu, pasukan KTM Tech3 tidak meneruskan kontrak bersama Hafizh musim depan sehingga memaksanya kembali beraksi dalam kelas Moto2 bersama pasukan Angel Neito Team.
Pelumba itu juga bakal berdepan situasi lebih sukar apabila bakal mengharungi tempoh semusim tahun depan tanpa dibayar gaji.
-- BERNAMA