Jurulatih skuasy kebangsaan, Ajaz Azmat, melihat banyak perkara positif sepanjang Kejohanan Siri 1 Jelajah Cabaran PSA, kelmarin.

Di sebalik peningkatan beberapa pemain muda, jurulatih berusia 43 tahun itu lega dengan tahap ketekalan yang dipamerkan juara kategori lelaki, Ivan Yuen, di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, biarpun berdepan tekanan sebagai pilihan pertama.

Ivan mempamerkan ketangkasannya untuk menundukkan Syafiq Kamal 16-14,9-11,11-3,11-4 dalam masa 40 minit.

"Kami tidak nampak sebarang perkara negatif, sebaliknya menjurus kepada yang positif, boleh nampak perbezaan di antara pemain utama dan kedua lelaki.

"Beberapa bulan lalu, Syafiq mudah ditewaskan Ivan tetapi kini dia mampu memberikan saingan.

"Jadi saya nampak ada peningkatan dalam kalangan pelapis," katanya.

SRAM PSA 1 2021 Pictures from the prize giving ceremony. @wern9009 @aifaazman @kahyanooi #srampsa1 #psachallengertour #squashmalaysia #infinity #teammalaysia??

Posted by Squash Racquets Association of Malaysia on Monday, April 12, 2021


Kali terakhir Ivan menggenggam gelaran adalah Februari tahun lalu iaitu ketika saingan Kejohanan Antarbangsa CNS di Pakistan.

Dalam masa sama, Aifa Azman mengungguli kategori wanita, apabila menundukkan Ooi Kah Yan 11-9,11-5,11-8.