Jelajah Semenanjung: Cuaca tidak tentu buat penganjur bimbang

Penulis Jemputan
Oktober 13, 2019 10:42 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah Semenanjung, Emir Abdul Jalal, risau cuaca panas yang keterlaluan mampu menghentikan perlumbaan apabila bakal bermula Selasa ini.
Jelajah Semenanjung yang bakal berlangsung Selasa hingga Sabtu ini melihat laluan yang lebih pendek dengan jarak keseluruhan sejauh 751.6 kilometer berbanding perancangan awal mereka, iaitu 850.7km.
Bagaimanapun, faktor yang paling merisaukan Emir adalah cuaca panas yang keterlaluan mampu menghentikan perlumbaan pada bila-bila masa.
"Cuaca panas yang terlalu ekstrem adalah satu kebimbangan kerana saingan berkemungkinan besar akan dihentikan," katanya.
Tambahnya lagi, terdapat pasukan dari Jepun yang kini menghadapi masalah penerbangan akibat taufan Hagibis yang sedang melanda Negara Matahari Terbit itu.
"Pasukan dari Jepun juga menghadapi masalah untuk datang ke Malaysia dan kami sedang berusaha untuk memastikan mereka dapat membuat penampilan dalam saingan kali ini."
Peringkat pertama Jelajah Semenanjung akan bermula di Dungun hingga Kuala Terengganu dengan jarak keseluruhan sejauh 180.6km.