Isu bendera terbalik: Chuan How harap semua pasukan lebih teliti

Azizan Hashim
November 27, 2019 08:24 MYT
Perak mengarahkan semua pasukan, persatuan dan kelab sukan negeri untuk lebih prihatin dan teliti terhadap semua lambang dan bendera rasmi negeri yang dilekat, dicetak atau ditampal pada pakaian atlet.
Ia susulan gambar sehelai jersi bola keranjang pasukan Perak yang dipasang terbalik tular di media sosial.
Gejala itu berlaku kepada pasukan bola keranjang Perak yang sedang mengambil bahagian dalam Kejohanan Kebangsaan Bawah 15 tahun( B-15) di MABA, Kuala Lumpur.
"Pejabat saya telah berhubung dengan jurulatih pasukan bola keranjang berkenaan dan meminta penjelasan mereka.
"Saya difahamkan oleh jurulatih bahawa ia kesilapan yang tidak disengajakan oleh pembekal dan hanya sehelai jersi yang terlibat.
"Mereka (Persatuan Bola Kerajanjang Perak) telah memohon maaf dan berjanji untuk tidak akan mengulangi kesilapan tersebut," kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How
Beliau kesal dengan kejadian itu dan meminta pihak terbabit berwaspada kerana ia membabitkan soal integriti serta selaras semangat patriotik terhadap negeri.