Penyerang, Faizal Saari, antara enam pemain buangan yang dipanggil semula untuk membarisi skuad hoki negara menjelang kem latihan kebangsaan, Isnin depan.

Faizal meledak 18 gol ketika membawa Terengganu ke final Piala Tun Abdul Razak sebelum tumpas kepada Perak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, minggu lalu.

"Syukur saya terpilih dalam skuad, saya tidak sabar lagi untuk menyumbangkan kudrat untuk hoki Malaysia.

"Tempoh lapan bulan ini amat seksa dan sukar kerana langsung tidak mempunyai rakan untuk bermain hoki.

"Saya hampir berputus asa dan terlintas untuk menetap di Ipoh (Perak) tetapi atas nasihat ahli keluarga, saya teruskan perjuangan sebagai pemain hoki," katanya.

Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 yang dijadikan landasan untuk pemain-pemain hoki di Malaysia membuktikan...

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Thursday, October 1, 2020

Sebagai langkah pasca persaraan itu, Faizal yang giat menurunkan ilmu kepada peminat-peminat cilik, tidak berselindung akan terus berkecimpung dalam sukan berkenaan tetapi dengan peluang terbaru untuk melunaskan impian bersama kem kebangsaan, dia perlu bangkit kuatkan semangat.

"Saya sudah merancang untuk buka klinik hoki dan mengajar budak-budak.

"Apabila anak-anak tanya apakah 'papa' tidak lagi bermain hoki, saya berasa terharu dan sedih kerana berasa masih mahu melakukan sesuatu untuk negara.

"Saya mahu membuktikan bahawa saya masih mampu menyumbang untuk negara tetapi impian saya untuk ke Sukan Olimpik belum tercapai, jadi saya teruskan impian.

"Saya masih belum berpuas hati dan menganggap masih boleh melakukan yang lebih baik lagi.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya," katanya.

Begitupun, Faizal tidak akan mengambil mudah dalam sesi pemilihan kali ini biarpun diangkat sebagai penyerang terbaik kerana masih perlu menambat hati Arul.

"Jika tiada aral melintang, saya akan kembali ke skuad, saya memang dapat rasakannya.

"Kami ada berhubung dan dia memaklumkan bahawa kami perlu menjalani ujian bersama skuad kebangsaan, ia akan bermula esok."

Pemain tengah, Fitri Saari, turut tersenarai semula dan mengakui diarahkan menurunkan berat badannya.

"Saya perlu turunkan 2kg lagi daripada berat badan ketika ini.

"Apabila saya kembali berlatih bersama pasukan kebangsaan, tiada masalah untuk saya menurunkan berat badan," katanya.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj mengumumkan senarai 38 pemain yang dipilih untuk menjalani latihan pusat bermula 5 Oktober 2020

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Wednesday, September 30, 2020