MALAYSIA 2 CHILE 1

Skuad hoki remaja negara memulakan kempen Piala Dunia Remaja dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Chile dalam perlawanan Kumpulan A di Bhubaneswar, India sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, Malaysia kini berada di tangga kedua peringkat kumpulan dengan tiga mata dan hanya dibezakan jumlah jaringan dengan pendahulu, Belgium, yang membelasah Afrika Selatan 5-1 dalam satu lagi perlawanan.

Pasukan bimbingan Walace Tan itu mempamerkan penguasaan dalam dua suku pertama tetapi gagal menembusi gawang lawan.

Gol yang dicari-cari skuad negara akhirnya tiba selepas separuh masa menerusi satu gerakan pukulan sudut penalti yang disudahkan Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-34.

Berselang sembilan minit, Malaysia sekali lagi memanfaatkan pukulan sudut penalti untuk Syarman Mat Tee menggandakan kelebihan menjelang suku terakhir.

Bagaimanapun, Chile kemudian berhasil merapatkan jurang menerusi gerakan set-piece yang disempurnakan Sebastian Wolansky pada minit ke-59.

Kemenangan tipis itu memberikan permulaan baik buat sekuad remaja negara tetapi cabaran lebih berat menanti apabila dijadualkan bertemu naib juara edisi 2016, Belgium, dalam aksi kedua peringkat kumpulan Jumaat ini.