KUALA LUMPUR 1 KELANTAN 1

Pertemuan di antara Kuala Lumpur dan Kelantan menamatkan saingan peringkat kumpulan Kejohanan Hoki B-16 Kebangsaan dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil, pagi tadi.


Kelantan mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam suku pertama apabila menenggelamkan gerakan Kuala Lumpur.

Banyak percubaan daripada Kelantan tetapi terpaksa menunggu hingga minit ke-34 untuk membuahkan hasil menerusi Adlie Hakim Zuwardi menyumbangkan jaringan pertama melalui pukulan sudut penalti.




Tersentak dengan gol itu, Kuala lumpur cuba melakukan kebangkitan untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-44 selepas Airil Abdul Razak melengkapkan pukulan sudut penalti untuk keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

"Kami bernasib baik sebenarnya, Kelantan mempunyai banyak peluang khususnya dalam suku pertama dan kedua.

"Jadi kami harus berterima kasih kepada penjaga gol.

"Kami bermasalah daripada segi mengawal pemain lawan dan terjahan ketika bertahan.

"Kami bangkit selepas itu menerusi pertukaran taktikal, saya berpuas hati dengan satu mata yang diraih," kata penolong jurulatih Kuala Lumpur, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad.

Menurut pengurus Kelantan, Hasrul Faizal Hashim pula: "Babak kedua agak kucar-kacir sedikit, penyerang kami tidak dapat ambil peluang di depan gol.

"Jika tidak, kami berpeluang beroleh kemenangan."

Kuala Lumpur kini di kedudukan kedua untuk mengekori rapat pendahulu, Perak, sementara Kelantan terperosok di tangga kedua tercorot daripada enam pasukan.

Kedua-dua pasukan akan menghadapi perlawanan terakhir bagi peringkat kumpulan esok.