PERAK 3 KUALA LUMPUR 1

Perak menepati ramalan untuk menjuarai Kumpulan A, Kejohanan Hoki B-16 Kebangsaan selepas menewaskan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pagi tadi.


Perlawanan bermula sengit dan Perak mencetak gol pertama seawal lapan minit perlawanan yang dijaringkan Muhammad Amirul Khairul Anuar.

Ahmad Fareedz Iqram Mohd Ramzuzzaman kemudian menempatkan wakil dari utara itu di kedudukan lebih selesa pada minit ke-25.

Begitupun, Kuala Lumpur tidak mudah berputus asa berhasil mengurangkan defisit jaringan kepada 1-2 pada minit ke-38 menerusi Muhammad Ashrafeel Iman Mohd Rizal.

Tersentak dengan gol itu, Perak beraksi lebih agresif dan 10 minit selepas itu, Fareedz Iqram sekali lagi menolak bola menembusi gawang lawan sekali gus mengesahkan kemenangan 3-1.

Dengan itu, Perak mengesahkan kemaraan ke saingan separuh akhir yang dijadual berlangsung Jumaat ini.

"Saya berpuas hati sebab pemain tahu kami turun dengan misi wajib menang hari ini.

"Kami akan kaji semula semua perlawanan lalu dan lihat apa yang perlu dibuat.

"Kami akan kembali kepada perkara asas dan perkara paling penting ialah taktikal.

"Saya tidak berkesempatan lagi menonton perlawanan membabitkan Selangor memandangkan perlawanan hari ini terlalu getir buat kami.

"Tapi kami ada sesuatu untuk Selangor, jadi mereka perlu berwaspada dengan Perak," kata ketua jurulatih Perak, Asminshah Baharudin.