Haziq tercicir ke Kejohanan Memanah Dunia

Penulis Jemputan
Mei 20, 2019 12:20 MYT
Pemanah senior, Haziq Kamaruddin, berdepan risiko terlepas peluang untuk membuat penampilan hatrik dalam Sukan Olimpik apabila digugurkan daripada trio recurve berpasukan lelaki untuk menghadapi Kejohanan Memanah Dunia di Belanda, 10 Jun depan.
Prestasi merosot punca Haziq tidak terpilih untuk mengibarkan cabaran dalam Kejohanan Memanah Dunia 2019.
Pemanah berusia 26 tahun itu menghuni ranking ke-80 pusingan kelayakan Piala Dunia di Shanghai, China, minggu lalu yang juga merupakan sesi pemilihan terakhir skuad kebangsaan.
Pemanah muda, Muhammad Zarif Syahir Zolkepeli, mengatasi Haziq dengan menghuni ranking ke-52 untuk melengkapkan trio recurve lelaki.
"Prestasi Haziq sedikit menurun dan dalam sesi pemilihan (kelayakan Piala Dunia), dia menduduki tempat keempat manakala kami hanya memilih dalam kalangan tiga terbaik.
"Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menyasarkan untuk layak menerusi skuad lelaki dan wanita.
"Kami menaruh harapan terhadap penyertaan pertama pasukan wanita dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Skuad wanita mempamerkan peningkatan prestasi kebelakangan ini," jelas Setiausaha Agung NAAM, Datuk Abdul Hamid Hassan.
Malaysia berpeluang layak ke temasya Tokyo 2020 jika sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir recurve berpasukan lelaki atau wanita.
Bagi recurve individu, 32 pemanah terbaik akan layak -- bergantung kepada keputusan acara berpasukan.
Berdasarkan prestasi semasa, skuad kendalian Lee Jae-hyung itu berpeluang untuk layak dalam kelima-lima acara Sukan Olimpik, termasuk berpasukan campuran yang diperkenalkan buat julung kalinya.
Ketika ini, pemanah negara berlatih di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu, sebelum berlepas ke Belanda, 6 Jun depan.