Hati persatuan terluka tindakan Syed Saddiq

Penulis Jemputan
Oktober 25, 2019 04:25 MYT
Presiden Persatuan E-Sukan Kuala Lumpur, Hisham Darus, terkilan apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bertemu dengan syarikat antarabangsa Cleo untuk membincangkan pelan pembangunan e-sukan bagi tahun depan.
Sebelum ini, Syed Saddiq telah mengadakan perjumpaan bersama syarikat antarabangsa Cleo untuk membincangkan pelan pembangunan e-sukan.
Bagaimanapun, keputusan tersebut membuahkan perasaan terkilan persatuan sukan elektronik negeri-negeri yang ingin berjumpa dengannya, namun mendakwa tidak diberi perhatian.
"Pertemuan Syed Saddiq dengan sebuah entiti perniagaan telah tular berkaitan dengan pembangunan e-sukan pada tahun hadapan. Perkara ini secara tidak langsung telah melukakan hati persatuan-persatuan e-sukan negeri dan kebangsaan," kata Hisham.
Beliau berharap pengagihan RM20 juta kepada sukan elektronik akan dilakukan secara telus bagi membantu pembangunan atlet e-sukan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2020 bulan ini, kerajaan mengiktiraf potensi tinggi e-sukan dan telah meningkatkan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2020.
"Peruntukan RM20 juta untuk memperkembangkan e-sukan sangat besar. Saya berharap dana itu dapat digunakan dengan sebaik mungkin," katanya lagi.