Simona Halep berkata dia tidak lagi takut dengan koronavirus selepas divaksin dan berharap pemain lain juga akan mengambil suntikan itu.

Halep enggan berkunjung ke New York bagi menyertai Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu berikutan kebimbangan pandemik berkenaan sebelum diuji positif COVID-19 pada Oktober lalu.

Juara grand slam dua kali itu terlepas Kejohanan Terbuka Perancis dan Wimbledon tahun ini berikutan kecederaan otot betis tetapi meraih kemenangan pertamanya sejak Mei lalu apabila menewaskan Magda Linette 6-4, 3-6, 6-0 dalam Masters Cincinnati semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mendedahkan betapa dia kini berasa lebih selesa untuk menyertai jelajah sukan itu selepas divaksin.

"Saya tidak takut kerana saya sudah divaksin," kata jaguh Romania itu kepada wartawan.

"Saya berasa dilindungi. Saya menjaga diri. Saya memakai pelitup muka apabila ramai orang disekeliling saya."

Halep turut berharap pemain profesional lain akan turut mengambil vaksin agar mereka tidak lagi terikat dengan protokol kesihatan yang ketat.

"Saya tidak suka gelembung sukan, saya berasa amat tertekan apabila berada dalam gelembung itu.

"Jadi, jika lebih ramai orang divaksin, ia akan menjadi lebih baik kerana kita tidak lagi terikat dengan sekatan," tambahnya.