Gold Coast 2018: Skuad olahraga intai kejohanan pemanas badan

Penulis Jemputan
Februari 20, 2018 05:33 MYT
Jurulatih skuad olahraga kebangsaan, M. Balamurugan, gusar apabila tiada lagi pertandingan luar negara yang dapat disertai anak didiknya sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, dari 4 hingga 15 April depan.
Kekurangan pertandingan pada awal tahun ini memaksa Balamurugan mencari alternatif demi memastikan setiap atlet kekal di tahap terbaik.
Mujur terdapat satu kejohanan pra-Sukan Asia di Jakarta minggu lalu yang dapat menjadi medan mengukur kemampuan atlet negara.
Hasrat untuk menghantar atlet dalam Terbuka Australia bulan depan pula tidak kesampaian apabila saingan itu diadakan secara tertutup.
Lantaran itu, hanya satu pertandingan tempatan dapat disertai atlet negara sebelum mereka ke Gold Coast nanti.
"Sebelum Sukan Komanwel, kami mahu menyertai pertandingan di luar negara tetapi tidak ada.
"Kami cuba menyertai Terbuka Australia tetapi kejohanan itu hanya dibuka untuk atlet tempatan.
"Kami akan menyertai satu kejohanan di Bukit Jalil bulan depan atau kami perlu mendapatkan satu kejohanan lain sebelum menghadapi Sukan Komanwel," katanya.
Dalam masa sama, Balamurugan menganggap penyertaan atlet negara dalam Kejohanan Pra-Sukan Asia sebagai sesuatu yang positif biarpun tanpa kelibat beberapa negara handalan Asia.
Antara yang menyerlah sudah pasti atlet pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli, yang meraih emas saingan 100 meter menerusi catatan 11.45 saat.
"Acara 100m itu berlangsung dalam cuaca sejuk dan sebelum berlumba, Zaidatul sudah berasa sedikit kekejangan hamstring.
"Dia kemudian menjalani ujian imbasan sekembalinya di sini dan hanya memerlukan rehat beberapa hari sebelum boleh menyambung latihan ringan.
"Secara keseluruhannya, prestasi atlet kita dalam kejohanan itu memuaskan," tambah Balamurugan.